Jun 6, 2008

Dairi Suram 4 (Cahaya Dan Gelita)

"Kegelapan itu indah walaupun menyeramkan..." Hanya itu yang diucapkan oleh Yuhanis untuk mengelak dari soalan para wartawan yang laparkan berita tentang dirinya.Pesona gadis misteri ini hampir menenggelamkan kisah Si Jubah Hitam.Beberapa orang bomoh yang terkenal dan handal juga menawarkan diri untuk berganding tenaga dan bekerjasama dengan Yuhanis memburu pembunuh paling sadis dan kejam dalam sejarah negara ketika itu.Walaupun pada awalnya ada antara mereka yang mempertikaikan pancaindera keenamnya.Permainan ganas Si Jubah Hitam semakin menjadi-jadi.Dia bagaikan tahu hadirnya seorang gadis buta yang menjadi ancaman besar kepada dirinya."Tujuh korban dalam satu malam!" Itulah tajuk berita terkini tentang jumlah mangsa terbanyak yang dibunuh oleh Si Jubah Hitam dalam satu malam.

Hujan lebat mencurah-curah di luar rumah.Guruh berdentam dentum dan kilat sabung menyabung.Yuhanis kegelisahan di dalam biliknya walaupun ada hampir enam orang anggota polis yang berkawal di sekeliling rumahnya.Nenek dan adik lelakinya telah lama lena dibuai mimpi.Hanya mereka dua beradik penyambung baka ibubapa yang telah lama meninggal dunia lebih sepuluh tahun lalu.Yuhanis duduk berpeluk tubuh di atas katil dan kelihatan dia menggigil ketakutan.Mulutnya terbuka bagaikan mahu bersuara tetapi bagaikan tersekat-sekat bernafas.
Di sebuah kampung hampir seratus batu lokasinya dari rumah Yuhanis angin mula bertiup kencang.Pak Imam dan Bomoh Sleiman merupakan orang terakhir yang melangkah keluar dari surau kampung itu."Kuat angin malam ni...macam nak turun hujan ribut je!" Pak Imam meraba kopiah di kepalanya sambil memandang ke langit yang gelap pekat.Bomoh Sleiman hanya diam sambil mengetuk-ngetuk lampu suluh yang dipegangnya."Lampu kau tu tak ada bateri ke?Gelap malam ni Leiman...Nak aku tumpangkan kau sampai rumah ke?" Pelawa Pak Imam yang melihat Bomoh Sleiman terbongkok-bongkok membetulkan lampu suluhnya."Larat ke Pak Imam nak kayuh basikal tu tumpangkan saya yang berat macam anak badak ni?.." Guraunya sambil tersengih melihat Pak Imam menyorong basikal ke arahnya."Insyaallah..." Jawab Pak Imam ringkas.
"Dia datang!!!" Tiba-tiba kedengaran jeritan Yuhanis.Dua orang polis wanita yang berkawal di serambi rumah segera menerpa masuk ke dalam biliknya."Bertenang dik...bertenang...Tak ada sesiapa di sini..." Salah seorang anggota polis cuba mententeramkannya.Empat orang anggota polis lelaki yang berkawal di luar juga sudah masuk ke dalam rumah dan bersiap sedia."Bukan di sini...Tapi saya nampak surau!...Seorang lelaki tua berbasikal!...Dia di sana!" Riak wajah Yuhanis semakin cemas."Tetapi bukan surau di kampung ini!". Jeritnya lagi...
Pak Imam meneruskan kayuhan basikalnya dengan berhati-hati meredah malam yang gelap pekat dan tiupan angin yang semakin kuat.Lampu basikalnya yang malap menghadkan jarak penglihatannya.Masih jauh lagi dia perlu berkayuh untuk sampai ke rumahnya.Tiba-tiba kopiahnya melayang ditiup angin.Serentak itu juga Pak Imam memberhentikan kayuhannya."Mana pulak terbangnya kopiah aku ni?''.Pak Imam memandang ke bawah ke arah jalan tanah merah yang menjadi laluannya.Matanya melilau memandang ke belakang dan sekitarnya."Gelap pekat memang tak nampak kat mana kopiah aku jatuh tadi.." Dia bercakap seorang diri.Tiba-tiba satu cahaya yang suram muncul tidak jauh di belakangnya.Bagaikan muncul kepulan asap di dalam sinar cahaya yang suram itu."Cahaya apa tu?....Asap datang dari mana pulak....Kabus?..."

No comments: